HKJDPtLmcMg3qG2VmeWD46e-j88

Pesanan Penaja

Thursday, 10 June 2010

BAGAIMANA MELIHAT 'PELANGI' DI ATAS KEPALA SENDIRI?


Salam,
Imam Ghazali yang merupakan salah seorang pemuka Sufism telah mensimbolikkan bahawa rezeki yang kita terima adalah seperti sebuah kereta kuda yang dikurniakan oleh seorang Raja. Kita mempunyai 3 pilihan perbuatan yang berkaitan dengan kurniaan itu yang akan memberikan natijah tertentu kepada diri kita.

Pertamanya ialah setelah menerima kereta kuda berkenaan maka kita tidak berbuat apa-apa. Kita tidak menggunakannya untuk bergerak ke mana-mana. Maka kita berada di tempat yang sama walau pun telah menerima kereta kuda yang mahal harganya itu.

Keduanya kita boleh menggunakan kereta kuda itu untuk melarikan diri menjauhi istana Raja. Maka selepas hari itu kita tidak akan men'dengar' cerita  tentang Raja dan kehidupannya lagi.

Ketiga, kita menggunakan kereta kuda itu untuk sering merapati istana dan selalu bertemu dengan Raja dan pegawai istana. Pihak istana dan Raja menjadi lebih rapat dengan diri kita serta sering dan terus menganugerahkan "persalinan" dan hadiah-hadiah berharga untuk kita.

Begitulah analoginya dengan kehidupan harian kita, jika kita menerima sesuatu rezeki kita bertanya kepada diri kita apa yang kita buat dengan rezeki itu. Adakah kita menfaatkan rezeki itu secara maksima untuk digunakan di jalan Allah? Jika kita menggunakan rezeki itu untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah maka Allah Maha Tahu dan Dia akan lebih dekat dengan diri kita sehingga kurniaan dan rezeki akan melimpah ruah. Perbuatan kita menghampiri Allah ketika menerima rezeki dinamakan perbuatan "bersyukur" manakalah kita menjadi "kufur" nikmat apabila menjauhi diri dariNya dan juga akan jauh dari segala rahmatnya. Namun perlu diingat perbuatan bersyukur bukan sekadar suatu pernyataan sebutan tetapi dengan penghayatan dan amalan.

Oleh itu jika ingin melihat rezeki sentiasa mendatangi kita maka sentiasalah bersyukur kepada Allah. Kita akan "melihat pelangi" sentiasa berada di atas kepala kita sendiri.

Selain dari amalan bersyukur kita boleh juga merujuk kepada amalan memelihara istiqamah dalam berusaha. Rasulullah pernah menyebut bahawa sifat istiqamah itu merupakan suatu sifat kewalian. Barang siapa yang dapat mengekalkan sifat istiqamah dalam berbuat baik maka individu berkenaan disifatkan telah mempunyai ciri-ciri Wali kecil.

Kita biasa mendengar pernyataan yang dipetik dari maksud ayat al-Quran iaitu  "Tuhan tidak akan memperbaiki nasib sesuatu kaum melainkan kaum berkenaan membaikinya sendiri". Premis ini telah dimenfaatkan oleh pemimpin Korea sejak sekian lama untuk memajukan negaranya dan mereka tidak malu untuk menyatakan bahawa ayat berkenaan diambil dari Malaysia semasa deligasi mereka melawat negara ini.

Kita boleh kaitkan tentang amalan bersyukur dan istiqamah dalam memperbaiki kualiti diri dan kualiti usaha kita ke arah masa depan yang gemilang. Jika kita faham bahawa rezeki di 'tangan' Allah dan jika menghampiriNya dengan amalan dan penghayatan kesyukuran sambil kita mempertingkatkan kualiti usaha dan kita beristiqamah dalam usaha tersebut maka kita sekali lagi akan terus melihat 'pelangi' akan terus berada di atas kepala kita sendiri dan tidak hanya pada orang lain.      

No comments:

Post a Comment

Pesanan Penting