HKJDPtLmcMg3qG2VmeWD46e-j88

Pesanan Penaja

Friday, 11 June 2010

ANIHNYA PERANGAI: BANGGA DIBENCI ORANG


Salam,

Setelah kita berbincang mengenai bagaimana perspektif kita tentang diri kita sendiri dan orang lain amat mempengaruhi penerimaan orang lain terhadap diri kita, kita lihat pula satu kes anih yang berlaku kepada seorang manusia ini.

Dia seorang yang suka berceramah sambil menyinggung perasaan orang lain. Oleh kerana dia mempunyai sedikit kedudukan dalam kerjayanya maka dia merasakan bahawa kuasa eksekutifnya sangat penting melebihi sifat kerja berpasukan. Kata-katanya selalu menyinggung perasaan orang yang menjadi audien dan seringkali kelihatan dia mengadu domba audiennya dengan audiennya yang lain. Sebagai contohnya jika dia memberi ceramah kepada majikan dia ambil kesempatan mempertikai integriti pembantu majikan berkenaan manakala apabila pembantu majikan tersebut menjadi audien pula sipenceramah ini pula bertindak mengutuk simajikan yang boleh menyebabkan pembantu itu memperlekehkan majikannya.

Ramai yang mengkiritik perangai sipenceramah ini, namun oleh kerana dia mempunyai kuasa maka tiada orang hendak membetulkan kesalahannya. Orang ramai yang berurusan dengannya 'berbunyi' di belakangnya dan sifat jeliknya itu diketahui semua ahli organisasi.

Pegawai ini pula sering mengwar-warkan insiden dirinya sering diboikot oleh rakan-rakan ketika dia cuba menghampiri mereka. Apabila orang bawahnya berkumpul untuk "ngeteh" dia mendengar gelak ketawa yang amat menggembirakan sehingga mendorong dirinya untuk berkongsi sama kegembiraan itu. Belum pun sempat dia dapat duduk, kumpulan orang bawahannya mula menjauhkan diri satu persatu dengan pelbagai alasan. Akhirnya dia keseorangan ditinggal oleh orang lain. Apa yang menghairankan ialah insiden berkenaan terus berlaku disepanjang tempoh kerjayanya di mana-mana tempat dan di mana-mana peringkat tanpa dia memuhasabah diri untuk mencari apakah kesalahan yang telah dilakukan. Dia kelihatan tidak berminat untuk berbuat demikian malah berbangga untuk menceritakannya kepada orang lain. Apa yang pelik ialah dia terus merasa dirinya sentiasa betul kerana sering berkata "Begitulah harga yang perlu dibayar apabila kita hendak memperbetulkan keadaan" Maksudnya dia sebenarnya hero yang sedang diduga. Dia merasa bahawa dia tidak akan menyerah dan akan terus berperangai seperti asal.

Orang begini akan bersendirian dalam hidupnya. Apabila kuasanya hilang maka dia akan diketepikan orang. Seorang sahabat pernah bercerita mengenai seorang Ketua Jabatan di salah sebuah agensi Kerajaan di Sarawak yang sering ke pasar untuk memilih ikan. Oleh kerana sipenjual ikan di pasar berkenaan maklum dengan sikap dan sifatnya yang kerap menggunakan kuasa maka dia membiarkan sahaja pegawai berkenaan untuk memilih ikan sesuka hati dan kemudianya dengan selamba berlalu tanpa membayar walau sesen pun. Perbuatan itu berlaku hampir setiap hari sejak dia diarah bertugas di kawasan itu. Kebencian sipeniaga ikan itu tidak terhingga namun demi masa depan perniagaannya dia terpaksa menjadi "yes man" dan membiarkan perkara itu berlaku walau pun telah merugikannya. Pada hari pertama persaraan pegawai itu dan secara kebetulan diketahui pula oleh peniaga tersebut dia cuba meneruskan rutinnya tetapi kali ini menerima layanan yang agak berbeza. Dengan menggunakan rotan sipeniaga tersebut menguis tangan pesara itu sambil berkata "Masa awak sudah sampai...Sekarang saya mahu beri anjing lain untuk makan!!!" Bayangkan bagaimana perasaan hati sipesara itu? Dan ada sesiapa kah yang akan berkawan dengannya selepas ini? Apa yang menyakitkan hati untuk didengar ialah istilah "anjing" yang ditujukan kepada kakitangan awam sepertinya.

Satu kisah lain yang hampir serupa berlaku kepada seorang ketua jabatan di agensi lain yang sering meninggi suara kepada orang bawahannya. Dia tidak mempeduli perasaan sesiapa dan menunjukkan sikap angkuh. Seluruh organisasi tempat dia bertugas tidak suka kepadanya. Diakhir hayatnya dia terpaksa hidup tanpa rakan kerana semua orang bawahannya yang sepatutnya menjadi rakan lebih suka menjauhkan diri darinya walau pun ketika duduk berjemaah dimasjid atau surau.

Kita ini manusia biasa. Sepatutnya kita berusaha untuk mendapat seberapa ramai sahabat dan taulan. Apalah yang hendak disombongkan sedangkan semua kehebatan  datangnya dari Allah. Ketika menunaikan haji di Makah kita semua diajar untuk melihat diri sebagai hamba Allah yang serupa dan sama darjat. Dan ketika kita hendak dikebumikan pakaian kita ialah sehelai kain kafan berwarna putih. Apa yang paling wajib kita risaukan ialah persoalan apakah menfaat yang kita buat didunia ini yang memberikan kedudukan istimewa kita diakhirat.

Wallahualam.      

No comments:

Post a Comment

Pesanan Penting