Salam,
"Aku dah rugi hampir RM160,000. Pelbagai jenis perniagaan aku dah cuba tapi gagal. Dalam pada tu ada pula sipenipu yang melesapkan duit aku..apalah nak jadi dengan nasib aku" Keluh seorang sahabat.
" Aku pun ada pengalaman kena tipu dengan dalam perniagaan. Upline aku suruh masuk perniagaan multi-level yang memerlukan aku keluar modal berjumlah RM10,000. Dia pulak kemudiannya suruh aku cari downline untuk beli secara produk pakej dan terus jadi agen rasmi. Akhirnya syarikat berkenaan menghilang!" Sampuk seorang sahabat yang mempunyai pengalaman sedih dalam bidang perniagaan khususnya multi-level.
Tiba-tiba rakan ketiga yang kebetulan ada bersama menyampuk sambil tersenyum.
"Wahai kawan, kalau belum kena tipu, belum merasa rugi tu..kira belum banyak pengalaman dalam perniagaan. Aku pernah kena tipu RM700,000! Bila orang tahu kita ada duit, mereka serbu kita dan buat macam-macam proposal yang akhirnya melesapkan duit kita".
Mendengar penerangan rakan ketiga itu membuatkan semuanya ternganga kerana tercengang. Mereka hairan melihat keadaan rakan ketiga itu walau pun telah kena tipu sebanyak itu masih boleh tersenyum.Mereka ingin bertanya bagaimana rakan ketiga itu berkehidupan selepas peristiwa itu.
"Kita kena tabahlah, usaha balik sehingga kita naik semula. Sekarang ni aku dah mula projek bernilai RM2 Billion untuk membuka ladang ayam halal untuk pasaran eksport! Yang pentingnya sebagai usahawan kita jangan patah semangat"
Begitulah jika kita terlibat dengan dunia perniagaan. Aspek yang dilihat orang ialah orang berniaga berpotensi jadi kaya tetapi tidak melihat dugaan dan cabaran seperti yang dibincangkan tadi.
Merujuk kepada penipuan dalam perniagaan, penulis ingin menasihatkan agar kita semua lebih berhati-hati. Dewasa kini banyak jenis perniagaan yang mempengaruh pelanggan dengan memanupulasi kepercayaan dan dengan menggunakan fakta sains palsu (pseudoscience). Penulis pernah tertarik kepada 'penemuan saintifik Dr Emoto' dari Jepun yang menulis tentang air. Mengikut kajiannya, didapati molekul air bertindakbalas dengan semua rangsangan luar terhadapnya yang memberikan suatu pengharapan tentang kegunaan air dalam konteks kesihatan. 'Penemuan' ini sangat popular sehingga diangkat oleh kebanyakan orang sebagai sesuatu yang baru dan menakjubkan. Ahli agama mengaitkan 'penemuan' tersebut dengan pelbagai teori agama masing-masing sehingga mempengaruhi pengikut mereka. Tidak kurang yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan penghasilan kewangan dari kepercayaan tentang isikandungan 'penemuan' itu.
Apabila diselidiki secara mendalam oleh pakar, didapati ujian yang dilakukan oleh Dr Emoto ini bukannya ujian saintifik tulen yang boleh dipertanggung-jawabkan dengan nilai ujian secara statistik. Bila dikaji lagi oleh Gary Greenberg (seorang saintis) di dapati Dr Emoto ini pula hanyalah merupakan seorang yang mendapat gelaran doktor dari sebuah universiti terbuka di India dimana kos untuk mendapatkan ijazah kedoktorannya hanyalah RM350!
Berikut ialah komen Gary:
"As a scientist, I was astonished. It didn’t surprise me that I couldn’t find any scientific experiments [Emoto] has performed or any peer-reviewed journal articles that have been published describing controlled studies of Emoto’s work. A further search revealed that Emoto’s degree was from the Open International University in India, where an M.D. degree costs $500 and a Ph.D. costs $350, no classes or tests required."
Apa yang amat membimbangkan ialah kesan dari 'penemuan Dr Emoto' itu terus digunakan pula oleh orang lain untuk mengaut keuntungan baik dalam soal produk fizikal mahu pun dalam ceramah-ceramah agama dan motivasi. Ramai yang telah dan akan terus terpedaya!
Cerita terbaru tentang suatu produk yang menggunakan konsep 'Dr Emoto' ini ialah "biodisc". Ramai orang telah terpengaruh dan terpedaya dengan 'keberkesanannya' walau pun pihak yang mengeluar dan mengedar tidak memberi sebarang jaminan tentang keberkesananya. Menurut Sze Zeng (blogger) ramai yang telah menggunakannya termasuk dirinya tetapi tiada apa perubahan berlaku dari segi kesihatan. Menurutnya jika produk itu cukup hebat mengapa tidak ianya dijual dipasaran terbuka seperti viagra tanpa melalui sistem multi-level? Juga, mengapa tiada jaminan keberkesanan dan pemulangan jika gagal menunjukkan sebarang kesan?
Penulis mengajak pembaca merujuk kepada posting yang berjudul Amezcua Bio Disc di blog Sze Zeng untuk mendapatkan informasi penting berkaitan dengan kepalsuan dakwaan keberkesananya.
Jadi kesimpulannya, di dalam proses dan perjalanan menuju kejayaan melalui perniagaan terutamanya maka sentiasalah berhati-hati. Jika tidak yakin dengan sesuatu maka selidik betul-betul dan elakkan dari terus tertipu!
Wassalam
No comments:
Post a Comment