Salam,
Dalam satu kelas "kawalan minda" (Mind Control) yang dijalankan oleh Jose Silva, setiap pelajar diberi sekeping kertas yang terdapat rajah bentuk seluruh tubuh manusia. Hampir dikebanyakan bahagian rajah tersebut dicetak rajah bulatan untuk menunjukkan kawasan tertentu. Murid diberi masa beberapa minit untuk bermeditasi dan kemudiannya menandakan satu atau lebih kawasan bulatan yang dirasakan betul. Sebenarnya mereka sedang mengesan penyakit bagi seseorang yang berada jauh dari kelas tersebut. Apa yang anihnya ialah majoriti pelajar menunjukkan kawasan yang hampir sama walau pun mereka tidak pernah berbincang mengenai perkara ini. Apabila subjek eksperimen dihubungi, didapati kawasan pengesanan yang telah mereka tanda adalah tidak menghampakan dan ianya bertepatan dengan apa yang dialami oleh subjek berkenaan.
Sebelum itu, institut yang dikendali oleh Jose Silva telah melatih pelajar tadi untuk belajar merehatkan tubuh dan menjadikan minda mereka lebih sensitif, "sadar" dan tenang. Menurut Jose Silva bila kita dalam keadaan tafakur (bermeditasi) kita sebenarnya berada dalam keadaan antara tidur dan jaga persis waktu pagi sebelum kita hendak terjaga dari tidur (Peringkat Gelombang Otak Alfa). Pada waktu itu, tubuh kita cukup rehat dan minda kita cukup cergas. Kita boleh membayangkan lokasi di luar tubuh kita tanpa melihat dengan mata. Jadi Silva telah melatih pelajarnya untuk berada dalam keadaan sedemikian secara automatik pada lokasi dan masa yang diperlukan.
Teknik mengesan penyakit dengan menggunakan minda dari jarak jauh adalah merupakan teknik yang agak mendalam. Mereka dikatakan menggunakan kemahiran telepati. Teori disebalik eksperimen ini ialah bahawa otak manusia merupakan organ yang mengeluarkan gelombang elektromagnetik yang boleh berhubung antara satu dengan lainnya tanpa mengira jarak.
Satu lagi eksperimen yang terdapat di dalam kajian mereka ialah bagaimana ditunjukkan bahawa sekumpulan pemain bola keranjang dapat bermain lebih hebat hanya kerana mereka berlatih secara minda semata-mata. Mereka tidak turun kegelanggang tetapi sebaliknya duduk bermeditasi sambil membayangkan mereka sedang melakukan latihan dengan penuh yakin dan bersemangat. Sekumpulan pelajar lain yang kalah dalam pertandingan dengan pelajar tadi sebelumnya pula disuruh berlatih seperti biasa digelanggang! Azam dan Keyakinan yang sangat hebat memberi impak yang cukup ketara kepada kumpulan pertama itu!
Jika kita hendak kaitkan pula dengan perkara yang hampir serupa dengan fenomena yang telah dibincangkan itu tadi ialah dalam teknik mempelajari seni mempertahankan diri. Seni mempertahankan diri bagi kebanyakan kaum di dunia ini mengajar pelajar seniornya dengan teknik meditasi atau bertapa. Aktiviti berkenaan membolehkan minda masing-masing individu mengarahkan semua otot badannya menjadi 'kebal' dan tahan dari sakit. Mereka juga meyakini diri mereka akan menjadi tangkas dan hebat ketika bertempur. Semasa bertafakur pelajar disuruh menghayati beberapa ayat pengukuhan yang dihafal tidak kiralah dalam bahasa apa sekali pun. Selepas itu "Minda Bawah Sedar" mengambil alih tugasan dalam pertempuran!
Bagi mendapatkan kejayaan di dalam pelbagai urusan hidup kita perlu "memerintah tubuh badan kita" agar akur dan selari dengan kehendak minda kita. Jika kita mempunyai sedikit sebanyak ilmu sebegini kita lebih mudah menghadapi situasi yang mencabar yang berada di sekeliling kita. Ilmu berkaitan dengan "Minda Bawah Sedar"(Subconsious Mind) atau ilmu bagaimana mencetuskan gelombang otak Alfa memang ada ditawarkan oleh sesetengah pakar bahagian itu. Cubalah belajar mengenai nya.
No comments:
Post a Comment