HKJDPtLmcMg3qG2VmeWD46e-j88

Pesanan Penaja

Tuesday, 22 June 2010

BUDAK-BUDAK TAP (Usahawan Teknoprenuer)

 "Sebahagian dari Budak-budak TAP bergambar dengan Bos MdeC"

Salam,
Budak-budak TAP, itulah gelaran yang penulis berikan kepada rakan-rakan hebat yang berumur sekitar awal atau pertengahan 20han yang bersama-sama menghadiri pelbagai program yang dianjurkan oleh Multimedia Development Coorporation (MDeC). TAP bermaksud Technoprenuer Acedamy Program, suatu pakej program yang dicetuskan oleh MdeC sebuah jabatan di bawah MSC (Multimedia Supercoridor).

"Siapa yang tidak kenal MSC?" Satu entiti yang mempromosi teknologi ICT yang terkemuka di seluruh dunia bertempat di Malaysia. MSC merupakan salah satu pemacu ekonomi Malaysia di dalam bidang teknologi.

Budak-budak TAP - mereka telah diberikan kursus berkaitan dengan penghasilan produk kreatif dan inovatif  dan diberi tugasan untuk merangka "business model", jadual perlaksanaan (timeline) produk dan jangkaan keperluan bantuan. Ketika hendak mendapatkan bantuan berkenaan mereka terpaksa membuat pembentangan sebanyak dua kali di hadapan ahli panel profesional. Pembentangan pertama adalah merupakan sesi selama 15 minit dengan sesi soal jawab selama setengah jam. Setelah berjaya melepasi ujian hebat tersebut, jika melepasi standard tertentu maka mereka dijemput pula untuk memperbaiki persembahan dan menyampaikannya sekali lagi pada "pitch session" yang mahukan persembahan perancangan perniagaan selama 5 minit sahaja dengan sesi soal jawab yang lebih kritikal. Persembahan kedua itu dijalankan di ibu pejabat MDeC di Universiti Multimedia, Cyberjaya.


"Rik: Antara Sifu penting bagi Budak-budak TAP"

Kumpulan budak-budak yang dimaksudkan  ini juga, adalah merupakan kalangan pemuda dan pemudi yang mempunyai idea berkaitan ICT yang  bombastik. Mereka diminta menubuhkan syarikat sendirian berhad yang kemudiaannya dibantu oleh MDeC untuk memulakan operasi penghasilan prototaip produk. Mereka melakukan "brainstorming" bagi mencetuskan konsep dan idea bagi merekacipta suatu prototaip produk yang bakal meletup di pasaran ICT. Pihak kerajaan melalui MDeC bukan sahaja memastikan bahawa bantuan yang diberikan akan membolehkan prototaip dihasilkan dalam jangkamasa 1 tahun, malah menyediakan konsultan di dalam bidang perniagaan yang turut sama membantu mereka bagi membolehkan produk berkenaan masuk ke pasaran. Selain dari itu mereka juga dibimbing dari segi pengurusan perniagaan agar membolehkan syarikat yang telah ditubuhkan oleh mereka bergerak mengikut lunas-lunas yang menepati budaya perniagaan yang sebenar.

Penulis tidak dapat memperincikan apakah prototaip produk yang bakal dihasilkan kerana ianya mlibatkan faktor kerahsiaan dan perundangan. Apa yang dapat disimpulkan ialah jenis produk yang dihasilkan ialah bersifat kreatif dan inovatif. Adakah anda juga seorang yang kreatif dan inovatif?

Saturday, 19 June 2010

BISNES MENJUAL INFOBIZ



Salam,
Pada satu hari di sekitar tahun 70 han,  penulis telah membeli sebuah buku yang cukup menarik di Central Store Johor Bahru. Pada masa itu kedai buku ini merupakan salah satu kedai menjual buku,majalah dan alatulis yang sentiasa dikunjungi orang.

Buku berkenaan menceritakan bagaimana kita boleh berjaya dalam bidang perniagaan dengan menggunakan Sistem Pos. Apa yang menarik ialah kehebatan penulisnya yang sering menunjukkan kebenaran dakwaannya itu melalui pelbagai statistik. Beliau dapat menunjukkan bahawa perniagaan melalui pos ialah suatu perniagaan paling berjaya di Amerika. Menurutnya seorang yang ingin menceburkan diri di dalam perniagaan ini tidak memerlukan kedai atau ruang pejabat tetapi boleh bermula dari rumah sahaja. Buku berkenaan memberi panduan dan tip-tip yang boleh diikuti di dalam menjayakan sistem perniagaan melalui pos.

Apa yang menarik ialah, penulis pada waktu itu baru sahaja menamatkan penulisan sebuah buku berjudul "Bagaimana mendapatkan dan memenangi hati kawan!". Tajuk buku berkenaan mengambil sempena buku oleh Dale Carnergie berjudul "How to Win Friends and Influence People"  Siapa yang tidak kenal Dale yang merupakan seorang pakar dalam bidang Motivasi dan Kemasyarakatan?

Buku  tulisan dan terbitan sulung  itu penulis mulanya dijual melalui sistem pos dengan bantuan seorang sahabat yang tertarik dengan idea di atas . Selain dari itu, penulis juga meletaknya untuk dijual secara konsainmen di kedai-kedai di sekitar Johor Bahru. Badan Book Store (Badan Cemerlang - pada masa ini) merupakan kedai buku yang telah menjual sebanyak 50 naskah dalam masa 2 minggu! Penulis merasa bangga kerana ada juga orang hendak membaca tulisan pertama ini. Jadi bertolak dari menjual secara pos, penulis juga berjaya menjualnya secara biasa. Apa yang menariknya dan mengejutkan ialah ada seorang gadis yang ingin berjumpa penulis untuk berbincang mengenai dirinya yang mempunyai masalah untuk mengambil perhatian rakan setelah membaca iklan di akhbar mengenai buku ini. Dia menyangka bahawa penulis juga ada memberi "coaching' secara peribadi!

Pokok bicara di sini ialah, semua yang terlibat di atas termasuk penulis sedang 'menjual' apa yang dinamakan dengan "infobiz". Infobiz bermaksud "Info" iaitu maklumat dan "biz" bermaksud  "business" atau bisnes. Menjual infobiz bermakna menjual maklumat tentang "cara" atau "teknik" untuk membuat bisnes. Penulis buku pertama menjual cara buat bisnes kaedah pos, Dale dan penulis (Sysalq)  menjual cara mempengaruhi untuk mendapatkan kawan dan mempengaruhi mereka melalui buku yang dijual.  Semuanya termasuk dalam kumpulan menjual "teknik", "How to" atau "Bagaimana".

Di Youtube, ada banyak video yang berjudul "How to" yang dimuatnaik oleh pengunjungnya.Jika kita melakukan "search" maka pelbagai "How to" yang akan dipaparkan. Video semudah "bagaimana memasukkan telur ke dalam botol" sehingga kepada "bagaimana mengintip perbualan telefon mudah alih" ada dipaparkan. Video berkenaan boleh menghasilkan pendapatan jika di terbitkan di loaksi yang tepat. Begitu juga artikel di dalam akhbar, majalah dan buku-buku.


Manusia mempunyai perasaan ingin tahu. Mereka sentiasa ingin membetulkan orientasi perspektif mereka bagi menfaat diri masing-masing selain dari untuk tidak ketinggalan. Mereka meneroka alat-alat yang boleh menghubungkan minda mereka dengan informasi. Maka sebab itulah buku-buku, akhbar,majalah dan dewasa kini internet sangat diminati oleh hampir setiap orang. Di kolej dan Universiti ianya menjadi "jantung" kepada kehidupan harian warganya! Malah institusi berkenaan merupakan entiti yang sentiasa kerjanya 'menjual' informasi mengenai "how to!!!"

Kenapa tidak kita menjadi sebahagian dari individu yang terlibat untuk menawarkan informasi kepada golognan sasaran dan menghasilkan pendapatan.  Belum cuba, belum tahu!

Thursday, 17 June 2010

AZAM: KEAJAIBAN MINDA



Salam,
Dalam satu kelas "kawalan minda" (Mind Control) yang dijalankan oleh Jose Silva, setiap pelajar diberi sekeping kertas yang terdapat rajah bentuk seluruh tubuh manusia. Hampir dikebanyakan bahagian rajah tersebut dicetak rajah bulatan untuk menunjukkan kawasan tertentu. Murid diberi masa beberapa minit untuk bermeditasi dan kemudiannya menandakan satu atau lebih kawasan bulatan yang dirasakan betul. Sebenarnya mereka sedang mengesan penyakit bagi seseorang yang berada jauh dari kelas tersebut. Apa yang anihnya ialah majoriti pelajar menunjukkan kawasan yang hampir sama walau pun mereka tidak pernah berbincang mengenai perkara ini. Apabila subjek eksperimen dihubungi, didapati kawasan pengesanan yang telah mereka tanda adalah tidak menghampakan dan ianya bertepatan dengan apa yang dialami oleh subjek berkenaan.

Sebelum itu, institut yang dikendali oleh Jose Silva telah melatih pelajar tadi untuk belajar merehatkan tubuh dan menjadikan minda mereka lebih sensitif, "sadar" dan tenang. Menurut Jose Silva bila kita dalam keadaan tafakur (bermeditasi) kita sebenarnya berada dalam keadaan antara tidur dan jaga persis waktu pagi sebelum kita hendak terjaga dari tidur (Peringkat Gelombang Otak Alfa). Pada waktu itu, tubuh kita cukup rehat dan minda kita cukup cergas. Kita boleh membayangkan lokasi di luar tubuh kita tanpa melihat dengan mata. Jadi Silva telah melatih pelajarnya untuk berada dalam keadaan sedemikian secara automatik pada lokasi dan masa yang diperlukan.

Teknik mengesan penyakit dengan menggunakan minda dari jarak jauh adalah merupakan teknik yang agak mendalam. Mereka dikatakan menggunakan kemahiran telepati. Teori disebalik eksperimen ini ialah bahawa otak manusia merupakan organ yang mengeluarkan gelombang elektromagnetik yang boleh berhubung antara satu dengan lainnya tanpa mengira jarak.

Satu lagi eksperimen yang terdapat di dalam kajian mereka ialah bagaimana ditunjukkan bahawa sekumpulan pemain bola keranjang dapat bermain lebih hebat hanya kerana mereka berlatih secara minda semata-mata. Mereka tidak turun kegelanggang tetapi sebaliknya duduk bermeditasi sambil membayangkan mereka sedang melakukan latihan dengan penuh yakin dan bersemangat. Sekumpulan pelajar lain yang kalah dalam pertandingan dengan pelajar tadi sebelumnya pula disuruh berlatih seperti biasa digelanggang! Azam dan Keyakinan yang sangat hebat memberi impak yang cukup ketara kepada kumpulan pertama itu!

Jika kita hendak kaitkan pula dengan perkara yang hampir serupa dengan fenomena yang telah dibincangkan itu tadi ialah dalam teknik mempelajari seni mempertahankan diri. Seni mempertahankan diri bagi kebanyakan kaum di dunia ini mengajar pelajar seniornya dengan teknik meditasi atau bertapa. Aktiviti berkenaan membolehkan minda masing-masing individu mengarahkan semua otot badannya menjadi 'kebal' dan tahan dari sakit. Mereka juga meyakini diri mereka akan menjadi tangkas dan hebat ketika bertempur. Semasa bertafakur pelajar disuruh menghayati beberapa ayat pengukuhan yang dihafal tidak kiralah dalam bahasa apa sekali pun. Selepas itu "Minda Bawah Sedar" mengambil alih tugasan dalam pertempuran!

Bagi mendapatkan kejayaan di dalam pelbagai urusan hidup kita perlu "memerintah tubuh badan kita" agar akur dan selari dengan kehendak minda kita. Jika kita mempunyai sedikit sebanyak ilmu sebegini kita lebih mudah menghadapi situasi yang mencabar yang berada di sekeliling kita. Ilmu berkaitan dengan "Minda Bawah Sedar"(Subconsious Mind) atau ilmu bagaimana mencetuskan gelombang otak Alfa memang ada ditawarkan oleh sesetengah pakar bahagian itu. Cubalah belajar mengenai nya.

Wednesday, 16 June 2010

BERHATI-HATI DALAM URUSAN PERNIAGAAN



Salam,
"Aku dah rugi hampir RM160,000. Pelbagai jenis perniagaan aku dah cuba tapi gagal. Dalam pada tu ada pula sipenipu yang melesapkan duit aku..apalah nak jadi dengan nasib aku" Keluh seorang sahabat.

" Aku pun ada pengalaman kena tipu dengan dalam perniagaan. Upline aku suruh masuk perniagaan multi-level yang memerlukan aku keluar modal berjumlah RM10,000. Dia pulak kemudiannya suruh aku cari downline untuk beli secara produk pakej dan terus jadi agen rasmi. Akhirnya syarikat berkenaan menghilang!" Sampuk seorang sahabat yang mempunyai pengalaman sedih dalam bidang perniagaan khususnya multi-level.

Tiba-tiba rakan ketiga yang kebetulan ada bersama menyampuk sambil tersenyum.

"Wahai kawan, kalau belum kena tipu, belum merasa rugi tu..kira belum banyak pengalaman dalam perniagaan. Aku pernah kena tipu RM700,000! Bila orang tahu kita ada duit, mereka serbu kita dan buat macam-macam proposal yang akhirnya melesapkan duit kita".

Mendengar penerangan rakan ketiga itu membuatkan semuanya ternganga kerana tercengang. Mereka hairan melihat keadaan rakan ketiga itu walau pun telah kena tipu sebanyak itu masih boleh tersenyum.Mereka ingin bertanya bagaimana rakan ketiga itu berkehidupan selepas peristiwa itu.

"Kita kena tabahlah, usaha balik sehingga kita naik semula. Sekarang ni aku dah mula projek bernilai RM2 Billion untuk membuka ladang ayam halal untuk pasaran eksport! Yang pentingnya sebagai usahawan kita jangan patah semangat"

Begitulah jika kita terlibat dengan dunia perniagaan. Aspek yang dilihat orang ialah orang berniaga berpotensi jadi kaya tetapi tidak melihat dugaan dan cabaran seperti yang dibincangkan tadi.

Merujuk kepada penipuan dalam perniagaan, penulis ingin menasihatkan agar kita semua lebih berhati-hati. Dewasa kini banyak jenis perniagaan yang mempengaruh pelanggan dengan memanupulasi kepercayaan dan dengan menggunakan fakta sains palsu (pseudoscience). Penulis pernah tertarik kepada 'penemuan saintifik Dr Emoto' dari Jepun yang menulis tentang air. Mengikut kajiannya, didapati molekul air bertindakbalas dengan semua rangsangan luar terhadapnya yang memberikan suatu pengharapan tentang kegunaan air dalam konteks kesihatan. 'Penemuan' ini sangat popular sehingga diangkat oleh kebanyakan orang sebagai sesuatu yang baru dan menakjubkan. Ahli agama mengaitkan 'penemuan' tersebut dengan pelbagai teori agama masing-masing sehingga mempengaruhi pengikut mereka. Tidak kurang yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan penghasilan kewangan dari kepercayaan tentang isikandungan 'penemuan' itu.

Apabila diselidiki secara mendalam oleh pakar, didapati ujian yang dilakukan oleh Dr Emoto ini bukannya ujian saintifik tulen yang boleh dipertanggung-jawabkan dengan nilai ujian secara statistik. Bila dikaji lagi oleh Gary Greenberg (seorang saintis) di dapati Dr Emoto ini pula hanyalah merupakan seorang yang mendapat gelaran doktor dari sebuah universiti terbuka di India dimana kos untuk mendapatkan ijazah kedoktorannya hanyalah RM350!

Berikut ialah komen Gary:

"As a scientist, I was astonished. It didn’t surprise me that I couldn’t find any scientific experiments [Emoto] has performed or any peer-reviewed journal articles that have been published describing controlled studies of Emoto’s work. A further search revealed that Emoto’s degree was from the Open International University in India, where an M.D. degree costs $500 and a Ph.D. costs $350, no classes or tests required."

Apa yang amat membimbangkan ialah kesan dari 'penemuan Dr Emoto' itu terus digunakan pula oleh orang lain untuk mengaut keuntungan baik dalam soal produk fizikal mahu pun dalam ceramah-ceramah agama dan motivasi. Ramai yang telah dan akan terus terpedaya!

Cerita terbaru tentang suatu produk yang  menggunakan konsep 'Dr Emoto' ini ialah "biodisc".  Ramai orang telah terpengaruh dan terpedaya dengan 'keberkesanannya' walau pun pihak yang mengeluar dan mengedar tidak memberi sebarang jaminan tentang keberkesananya. Menurut Sze Zeng (blogger) ramai yang telah menggunakannya termasuk dirinya tetapi tiada apa perubahan berlaku dari segi kesihatan. Menurutnya jika produk itu cukup hebat mengapa tidak ianya dijual dipasaran terbuka seperti viagra tanpa melalui sistem multi-level?  Juga, mengapa tiada jaminan keberkesanan dan pemulangan jika gagal menunjukkan sebarang kesan?

Penulis mengajak pembaca merujuk kepada posting yang berjudul Amezcua Bio Disc di blog Sze Zeng untuk mendapatkan informasi penting berkaitan dengan kepalsuan dakwaan keberkesananya.

Jadi kesimpulannya, di dalam proses dan perjalanan menuju kejayaan melalui perniagaan terutamanya maka sentiasalah berhati-hati. Jika tidak yakin dengan sesuatu maka selidik betul-betul dan elakkan dari terus tertipu!

Wassalam

Monday, 14 June 2010

IDEA: REZEKI PADA PERINGKAT AWAL

 Neil, berjaya memenfaatkan idea untuk menjadi sumber rezeki

Salam,
Idea yang Allah beri sebenarnya ialah merupakan rezeki pada peringkat awal pembangunan sesuatu produk. Apabila telah menjadi nyata dan memberi penghasilan dan nilai tambah ekonomi maka idea berkenaan telah berjaya diterjemah sebagai rezeki yang telah dimenfaat sepenuhnya.Ada unsur "kesyukuran" seperti dalam konteks posting terdahulu mengenai kesyukuran.   

Seorang rakan saya mempunyai bakat melukis grafik di atas medium yang jarang diguna orang untuk melukis atau membuat sketch. Dia menggunakan kertas tisu! Pelbagai tisu digunakan dan idea untuk mencoret grafitinya itu ialah secara spontan. Ideanya mencurah-curah dan dia sentiasa berjaya menterjemah idea berkenaan di atas kertas tisu.

Neil nama gelarannya,  mempunyai latar belakang sebagai artis multimedia dan berkebolehan pula di dalam bidang dekorasi dalaman. Namun demikian idea melukis di atas kertas yang satu itu merupakan idea yang penulis rasakan amat unik. Bukan mudah untuk menghasilkan grafiti atau grafik di atas kertas selembut kertas tisu kerana ianya mudah koyak apabila dibasahkan dengan dakwat. Di sinilah letaknya keistimewaan Neil.

Neil memuatnaik sketch atau grafik yang telah dilukiskan itu hanya pada mulanya sebagai suka-suka. Penulis sebagai rakan beliau  nampak aktiviti berkenaan boleh pergi lebih jauh lagi jika dia mempunyai banyak lukisan dan rakan-rakan yang boleh membentuk "interest group". Di atas galakan rakan-rakan Neil telah menubuhkan satu "group" khas di Facebook yang diberi nama "Sketches of Expression". Apa yang menariknya ialah kumpulan ini sudah mula menarik minat "fan" yang mula turut sama menyumbang. Akhirnya Neil bersama rakan "sekepalanya" telah berjaya membuat pamiran mini di Shah Alam. Seorang rakannya yang mempunyai gerai seni telah memasukkan "sketch atas tisu" ini sebagai bahan jualannya!

Saturday, 12 June 2010

WORK SMART VS WORK HARD

Penghasilan kerja secara berjemaah!

Salam,
Posting lepas membincangkan tentang bagaimana seseorang yang sombong telah kehilangan sahabatnya dan terus akan dipulau orang kerana individu berkenaan berbangga dengan kesalahan yang dilakukannya tanpa mahu bermuhasabah diri.

Cuba kita berbincang mengenai seseorang yang mudah mesra dan berjaya bergaul dengan ramai orang. Contoh paling mudah untuk kita rujuk ialah dalam bidang keagamaan. Di dalam mengamalkan rukun agama kita, seringkali kita diseru untuk melakukan sembahyang lima waktu secara berjemaah. Orang yang bersembahyang berjemaah akan menerima pahala berganda jika dibandingkan dengan sembahyang secara bersendirian. Orang yang tidak suka kepada orang lain dan tidak suka diperintah, lebih suka sembahyang secara bersendirian walau pun ketika dia mempunyai kesempatan dan ruang untuk berbuat demikitan.

Ketika jemaah sedang bersembahyang maka kita akan dapat melihat bagaimana sebuah kumpulan orang dengan tujuan yang sama melaksanakan rukun-rukun sembahayang secara teratur dan diketuai oleh seorang Imam. Di sini terdapat peraturan yang diketahui umum mengenai tatacara sembahyang berjemaah. Antara contohnya ialah meng "amin" kan secara beramai-ramai dan serentak apabila sampai ayat penghujung surah Al-Fatiha. Contoh lain ialah makmum mesti sentiasa mengikuti pergerakan Imam tanpa mendahuluinya. Jika kita amati betul-betul kita boleh menarik kesimpulannya bahawa sembahyang berjemaah itu ialah suatu simbolik kepada urusan berorganisasi di dunia luar yang boleh dijadikan contoh atau model.

Di dunia nyata ini, jika kita memancarkan aura kemesraan kepada orang di sekeliling kita maka kita akan dapat ramai kenalan. Seperti yang telah kita pelajari melalui posting terdahulu bahawa apabila kita menunjukkan kemesraan kita kepada orang lain maka orang lain akan membalas dengan sikap yang sama. Ini akan memudahkan kita untuk mendapat ramai kenalan. Di dalam dunia perniagaan, kenalan adalah pelanggan pertama yang harus kita temui lebih-lebih lagi perniagaan yang berbentuk multi-level.

Jika kita berniaga umpamanya secara bersendirian, maka kita akan mempunyai peluang yang amat terhad untuk menjana pendapatan yang tinggi kerana seseorang itu hanya boleh bekerja selama 8 jam atau 12 jam sehari. Jika setiap 1 jam kita meraih RM5 maka kita mungkin hanya berjaya menerima RM40 atau RM60 sehari. Jika tabiat berkerja sedemikian diteruskan maka kita tidak akan dapat melipatgandakan penghasilan. Kalau kita hendak capai juga pertambahan pendapatan maka kita wajib "bekerja kuat". Ini termasuklah memanjangkan tempoh jualan dan kurangkan rehat dan tidur. Lama kelamaan kita akan keletihan dan kesihatan akan terganggu manakala pendapatan hanya menunjukkan sedikit pertambahan.

Cuba kita renungkan, apa jadi kalau kita kerja secara berjemaah. Jika kita mempunyai 5 rakan yang setia yang juga bekerja selama 8  jam sehari untuk mengulangi apa yang kita buat, agak-agaknya berapa banyak pendapatan yang akan kita raih? Katakan rakan berlima itu pula membawa lagi lima rakan setiap orang yang menjadikan 25 orang bekerja untuk anda selama 8 jam setiap hari. Ini bermakna kita mempunyai 8 x 25 jam iaitu 200 jam berkerja yang telah disumbangkan bagi melakukan kerja yang sama. Ini bermakna kita secara berjemaah berpotensi menjana pendapatan sebanyak RM40 x 200 = RM8000 sehari! Penghasilannya berganda dalam jangkawaktu yang sama! Sudah tentulah kita kena mengambil kira upah dan insentif  harus diberikan kepada rakan-rakan yang telah membantu kita tadi. Inilah yang kita namakan "work smart" atau kerja secara bijak dan ianya ialah kerja secara berjemaah!

Kita jangan terperanjat apabila melihat orang yang memulakan sistem multi-level dalam perniagaan selalunya menjadi jutawan dengan begitu pantas. Jika mereka jujur dan beringat maka mereka akan kekal berjaya dan membawa orang lain pula turut berjaya. Mengikut statistik, ramai kalangan jutawan dihasilkan melalui sistem multi-level ini.

Teknik perniagaan berbilang tingkat juga banyak diamalkan di Amerika Syarikat dan oleh kerana itu banyak perniagaan yang sampai ke pelusuk dunia yang datangnya dari Amerika. Kebanyakan perniagaan ini mengikut sejarahnya hanya bermula dari dapur rumah yang akibat kegigihan, istiqamah dan lain sifat positif yang diamalkan maka akhirnya berjaya menjadi suatu konglomerat yang besar dan berkembang secara global. Sebagai contohnya ialah Perniagaan Kentucky Fried Chicken, Pizza Hut dan Mc Donald. Sistem yang diamalkan oleh mereka ini dinamakan sistem "franchise" yang agak berbeza sedikit dengan sistem multi-level biasa. Jika kita ingin mengetahui lebih mendapat tentang perniagaan ini maka rujuklah dengan pemiliknya sendiri, atau pun melakukan pembacaan melalui internet atau buku-buku. Jika benar-benar berminat untuk mencebur diri maka eloklah berhubung dengan institusi kerajaan yang menawarkan skim-skim yang terbabi seperti MARA dan lain-lain.

Jika anda tiada produk untuk diperniagakan juga tidak mempunyai modal besar maka eloklah ceburkan diri di dalam perniagaan jenis multi-level. Perkara paling penting ialah jika anda ingin berjaya di dalam apa jua bidang maka anda wajib memberi fokus kepada kerjaya berkenaan dan melakukannya dengan penuh istiqamah. 

Wallahualam.

Friday, 11 June 2010

ANIHNYA PERANGAI: BANGGA DIBENCI ORANG


Salam,

Setelah kita berbincang mengenai bagaimana perspektif kita tentang diri kita sendiri dan orang lain amat mempengaruhi penerimaan orang lain terhadap diri kita, kita lihat pula satu kes anih yang berlaku kepada seorang manusia ini.

Dia seorang yang suka berceramah sambil menyinggung perasaan orang lain. Oleh kerana dia mempunyai sedikit kedudukan dalam kerjayanya maka dia merasakan bahawa kuasa eksekutifnya sangat penting melebihi sifat kerja berpasukan. Kata-katanya selalu menyinggung perasaan orang yang menjadi audien dan seringkali kelihatan dia mengadu domba audiennya dengan audiennya yang lain. Sebagai contohnya jika dia memberi ceramah kepada majikan dia ambil kesempatan mempertikai integriti pembantu majikan berkenaan manakala apabila pembantu majikan tersebut menjadi audien pula sipenceramah ini pula bertindak mengutuk simajikan yang boleh menyebabkan pembantu itu memperlekehkan majikannya.

Ramai yang mengkiritik perangai sipenceramah ini, namun oleh kerana dia mempunyai kuasa maka tiada orang hendak membetulkan kesalahannya. Orang ramai yang berurusan dengannya 'berbunyi' di belakangnya dan sifat jeliknya itu diketahui semua ahli organisasi.

Pegawai ini pula sering mengwar-warkan insiden dirinya sering diboikot oleh rakan-rakan ketika dia cuba menghampiri mereka. Apabila orang bawahnya berkumpul untuk "ngeteh" dia mendengar gelak ketawa yang amat menggembirakan sehingga mendorong dirinya untuk berkongsi sama kegembiraan itu. Belum pun sempat dia dapat duduk, kumpulan orang bawahannya mula menjauhkan diri satu persatu dengan pelbagai alasan. Akhirnya dia keseorangan ditinggal oleh orang lain. Apa yang menghairankan ialah insiden berkenaan terus berlaku disepanjang tempoh kerjayanya di mana-mana tempat dan di mana-mana peringkat tanpa dia memuhasabah diri untuk mencari apakah kesalahan yang telah dilakukan. Dia kelihatan tidak berminat untuk berbuat demikian malah berbangga untuk menceritakannya kepada orang lain. Apa yang pelik ialah dia terus merasa dirinya sentiasa betul kerana sering berkata "Begitulah harga yang perlu dibayar apabila kita hendak memperbetulkan keadaan" Maksudnya dia sebenarnya hero yang sedang diduga. Dia merasa bahawa dia tidak akan menyerah dan akan terus berperangai seperti asal.

Orang begini akan bersendirian dalam hidupnya. Apabila kuasanya hilang maka dia akan diketepikan orang. Seorang sahabat pernah bercerita mengenai seorang Ketua Jabatan di salah sebuah agensi Kerajaan di Sarawak yang sering ke pasar untuk memilih ikan. Oleh kerana sipenjual ikan di pasar berkenaan maklum dengan sikap dan sifatnya yang kerap menggunakan kuasa maka dia membiarkan sahaja pegawai berkenaan untuk memilih ikan sesuka hati dan kemudianya dengan selamba berlalu tanpa membayar walau sesen pun. Perbuatan itu berlaku hampir setiap hari sejak dia diarah bertugas di kawasan itu. Kebencian sipeniaga ikan itu tidak terhingga namun demi masa depan perniagaannya dia terpaksa menjadi "yes man" dan membiarkan perkara itu berlaku walau pun telah merugikannya. Pada hari pertama persaraan pegawai itu dan secara kebetulan diketahui pula oleh peniaga tersebut dia cuba meneruskan rutinnya tetapi kali ini menerima layanan yang agak berbeza. Dengan menggunakan rotan sipeniaga tersebut menguis tangan pesara itu sambil berkata "Masa awak sudah sampai...Sekarang saya mahu beri anjing lain untuk makan!!!" Bayangkan bagaimana perasaan hati sipesara itu? Dan ada sesiapa kah yang akan berkawan dengannya selepas ini? Apa yang menyakitkan hati untuk didengar ialah istilah "anjing" yang ditujukan kepada kakitangan awam sepertinya.

Satu kisah lain yang hampir serupa berlaku kepada seorang ketua jabatan di agensi lain yang sering meninggi suara kepada orang bawahannya. Dia tidak mempeduli perasaan sesiapa dan menunjukkan sikap angkuh. Seluruh organisasi tempat dia bertugas tidak suka kepadanya. Diakhir hayatnya dia terpaksa hidup tanpa rakan kerana semua orang bawahannya yang sepatutnya menjadi rakan lebih suka menjauhkan diri darinya walau pun ketika duduk berjemaah dimasjid atau surau.

Kita ini manusia biasa. Sepatutnya kita berusaha untuk mendapat seberapa ramai sahabat dan taulan. Apalah yang hendak disombongkan sedangkan semua kehebatan  datangnya dari Allah. Ketika menunaikan haji di Makah kita semua diajar untuk melihat diri sebagai hamba Allah yang serupa dan sama darjat. Dan ketika kita hendak dikebumikan pakaian kita ialah sehelai kain kafan berwarna putih. Apa yang paling wajib kita risaukan ialah persoalan apakah menfaat yang kita buat didunia ini yang memberikan kedudukan istimewa kita diakhirat.

Wallahualam.      

Thursday, 10 June 2010

ISTIQAMAH DALAM USAHA MENINGKATKAN KUALITI

 Thomas Elva Edison: Istiqamah dalam meningkatkan kualiti produk

Salam,
Posting terdahulu merujuk kepada maksud hadith Rasulullah bahawa istiqamah itu salah satu ciri kewalian. Wali Allah merupakan entiti yang mempunyai kualiti iman yang tinggi sehingga menerima karamah yang tidak dialami oleh orang biasa. Sifatnya yang sentiasa istiqamah dalam memperbaiki diri dalam agama telah menyebabkan dirinya begitu hampir dengan Allah. Sudah tentu pelbagai ujian telah dilalui dengan sabar.

Di dalam bidang kerjaya orang biasa seperti kita boleh mencapai kejayaan jika kita juga beristiqamah dalam usaha untuk meningkatkan kualiti produk yang hendak dihasilkan. Thomas Elva Edison iaitu seorang yang dikatakan mencipta lampu elektrik telah melaksanakan eksperimen sebanyak beratus kali. Setiap kali gagal dia mengkaji mengapa kegagalan itu terjadi dan beliau sentiasa memperbaiki prototaip yang dihasilkan. Akhirnya beliau berjaya merealisasikan cita-citanya untuk menjadikan lampu elektrik sebagai realiti. Sehingga sekarang ini lampu elektrik terus digunakan hampir di seluruh rumah kediaman dan premis lain.

Walau pun kelihatan bahawa sipencipta prototaip produklah yang 'berusaha' menciptanya, namun banyak insiden yang menunjukkan bahawa kebanyakan dari kejayaan berkenaan adalah datangnnya dari Allah. Saintis yang cuba merangka struktur molekul benzin akhirnya tertidur keletihan kerana gagal mendapatkan idea mendirikan struktur yang logik untuk bahan tersebut. Bentuk struktur molekul benzin akhirnya datang dari ilham yang diterima dalam mimpi. Contoh lain yang berkaitan dengan penemuan secara tidak sengaja ialah penemuan Sinar X (X Ray) dan Fotografi Kirlian. Sinar X yang  berbahaya itu ditemui secara tidak sengaja oleh keluarga Mary Curie yang akhirnya menyebabkan kematian mereka sendiri. Dalam kes Fotografi Kirlian, saintis berkenaan tidak menyedari bahawa beliau telah menemui suatu kaedah mengesan penyakit sebelum ianya menampakkan tanda fizikal. Kesimpulannya banyak kejadian penciptaan adalah melalui insiden ketidaksengajaan dan ilham penyelesaiannya bukan didapati secara sedar. Idea dan penyelesaian tersebut kerap datang dari 'alam ghaib' melalui minda bawah sedar!

Untuk menerima "ilham pencipta" seseorang itu terlebih dahulu perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai proses termasuk usaha yang tidak kenal erti lelah.

BAGAIMANA MELIHAT 'PELANGI' DI ATAS KEPALA SENDIRI?


Salam,
Imam Ghazali yang merupakan salah seorang pemuka Sufism telah mensimbolikkan bahawa rezeki yang kita terima adalah seperti sebuah kereta kuda yang dikurniakan oleh seorang Raja. Kita mempunyai 3 pilihan perbuatan yang berkaitan dengan kurniaan itu yang akan memberikan natijah tertentu kepada diri kita.

Pertamanya ialah setelah menerima kereta kuda berkenaan maka kita tidak berbuat apa-apa. Kita tidak menggunakannya untuk bergerak ke mana-mana. Maka kita berada di tempat yang sama walau pun telah menerima kereta kuda yang mahal harganya itu.

Keduanya kita boleh menggunakan kereta kuda itu untuk melarikan diri menjauhi istana Raja. Maka selepas hari itu kita tidak akan men'dengar' cerita  tentang Raja dan kehidupannya lagi.

Ketiga, kita menggunakan kereta kuda itu untuk sering merapati istana dan selalu bertemu dengan Raja dan pegawai istana. Pihak istana dan Raja menjadi lebih rapat dengan diri kita serta sering dan terus menganugerahkan "persalinan" dan hadiah-hadiah berharga untuk kita.

Begitulah analoginya dengan kehidupan harian kita, jika kita menerima sesuatu rezeki kita bertanya kepada diri kita apa yang kita buat dengan rezeki itu. Adakah kita menfaatkan rezeki itu secara maksima untuk digunakan di jalan Allah? Jika kita menggunakan rezeki itu untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah maka Allah Maha Tahu dan Dia akan lebih dekat dengan diri kita sehingga kurniaan dan rezeki akan melimpah ruah. Perbuatan kita menghampiri Allah ketika menerima rezeki dinamakan perbuatan "bersyukur" manakalah kita menjadi "kufur" nikmat apabila menjauhi diri dariNya dan juga akan jauh dari segala rahmatnya. Namun perlu diingat perbuatan bersyukur bukan sekadar suatu pernyataan sebutan tetapi dengan penghayatan dan amalan.

Oleh itu jika ingin melihat rezeki sentiasa mendatangi kita maka sentiasalah bersyukur kepada Allah. Kita akan "melihat pelangi" sentiasa berada di atas kepala kita sendiri.

Selain dari amalan bersyukur kita boleh juga merujuk kepada amalan memelihara istiqamah dalam berusaha. Rasulullah pernah menyebut bahawa sifat istiqamah itu merupakan suatu sifat kewalian. Barang siapa yang dapat mengekalkan sifat istiqamah dalam berbuat baik maka individu berkenaan disifatkan telah mempunyai ciri-ciri Wali kecil.

Kita biasa mendengar pernyataan yang dipetik dari maksud ayat al-Quran iaitu  "Tuhan tidak akan memperbaiki nasib sesuatu kaum melainkan kaum berkenaan membaikinya sendiri". Premis ini telah dimenfaatkan oleh pemimpin Korea sejak sekian lama untuk memajukan negaranya dan mereka tidak malu untuk menyatakan bahawa ayat berkenaan diambil dari Malaysia semasa deligasi mereka melawat negara ini.

Kita boleh kaitkan tentang amalan bersyukur dan istiqamah dalam memperbaiki kualiti diri dan kualiti usaha kita ke arah masa depan yang gemilang. Jika kita faham bahawa rezeki di 'tangan' Allah dan jika menghampiriNya dengan amalan dan penghayatan kesyukuran sambil kita mempertingkatkan kualiti usaha dan kita beristiqamah dalam usaha tersebut maka kita sekali lagi akan terus melihat 'pelangi' akan terus berada di atas kepala kita sendiri dan tidak hanya pada orang lain.      

Pesanan Penting