HKJDPtLmcMg3qG2VmeWD46e-j88

Pesanan Penaja

Thursday, 15 April 2010

NILAI KESYUKURAN


Salam,
Jika ada masa untuk keluar sebentar menikmati keindahan malam maka pergilah. Sysalq cuma meminta anda pergi ke tempat lapang pada waktu malam yang cerah. Lihatlah bintang yang bertaburan di langit itu. Setiap   
bintang kelihatan sebagai titik kecil yang terlukis di atas langit. Berapa luaskah langit? Berapa banyakkah bintang yang bertaburan itu? Mengikut al-Quran dan Sains langit semakin meluas pada setiap detik. Apabila kita mendongak ke langit untuk menikmati keindahan kilauan bintang maka ketahuilah wahai sahabat 'bintang-bintang' berkenaan telah lama tiada di situ. Sebenarnya anda sedang melihat suatu sejarah! Akibat terlalu jauh maka cahaya dari bintang berkenaan mengambil masa berbilion tahun untuk sampai ke bumi. Maka apa yang dilihat itu semuanya sejarah berbilion tahun yang lalu. Begitu ajaib sekali. Persoalannya ialah, sebagai manusia bolehkah kita merobah apa-apa yang ada dilangit itu?

Setelah memandang ke atas maka kita pandang atau renung ke dalam diri kita pula. Kita renung kepada tubuh-badan kita yang terdiri dari sel-sel. Sel-sel berkenaan bersepadu, berorganisasi dan berangkaian membentu organ tubuh dan menjalankan pelbagai fungsi mengikut kesesuaian masing-masing. Apabila dikaji pada sel berkenaan maka kita akan dapati bahawa di dalamnya terdapat apa yang dinamakan kromosom. Pada kromosom pula mengandungi bahan utama dinamakan gen. Gen ini adalah kod-kod tentang diri fizikal kita yang tertulis sejak kita menjadi embrio sehinggalah kita meninggal alam yang fana ini.Gen telah menunjukkan jantina anda sebelum anggota jantina dibentuk. Ini termasuklah pembentukan fizikal otak yang bakal mempengaruhi cara kita menanggap alam ini. Sebelum kita dilahirkan, semua sifat fizikal kita ditentukan melalui gen malah kemungkinan penyakit apa yang bakal kita hidapi pada umur-umur tertentu.
Hampir semua perkara telah termaktub terlebih dahulu. Bolehkah anda memilih atau merobahnya?

Dua fenomena misteri berkenaan telah menunjukkan bahawa hampir kebanyakan insiden telah ditentukan sebelum ianya berlaku. Dalam ertikata lain, taqdir memainkan peranan yang begitu signifikan. Siapalah kita ini untuk merasa hebat kepada diri kita dan masyarakat? Tidak kita malu jika kita menyombong diri dan mendakwa bahawa segala usaha kitalah yang telah menyebabkan kita berjaya? Jika hendak dikatakan juga bahawa impak dari usaha kita ini yang memberi kesan maka jangan lupa bahawa ianya hanyalah merupa salah satu penyebab kejayaan dari beribu-ribu penyebab lain yang berada di luar kawalan kita dan bukan pula datang dari diri kita.

Sebab itulah jika kita dijadikan Allah sebagai orang yang terselamat dari balak bencana dunia dengan berkehidupan pada jalan yang selamat,  maka wajib sangatlah kita merasa begitu rendah diri bersyukur kepada Allah kerana mentaqdirkan kita begini. Jiwa kita bakal menjadi tenang apabila menyedari bahawa Allah Maha Berkuasa ke atas sesuatu dan mengetahui apa yang terbaik buat kita ini.

Rujuklah juga kepada posting di blog ini sebagai tambahan renungan: http://universaliti.blogspot.com/2008/07/keserentakan-dalam-kesiapsiagaan-alam.html

Tuesday, 13 April 2010

KESAN BERSANGKA BAIK


Salam,
Bagaimana jika kita berdiri di hadapan cermin solek berkenaan sambil memancarkan kebencian pada diri kita sendiri. Wajah dikerot-herotkan, bibir dijuihkan, dahi dikerotkan dan pelbagai tanda orang membenci diri sendiri. Pada waktu yang sama lihatlah wajah anda di dalam cermin. Cermin sentiasa memantul kembali apa jua imej yang anda pancarkan. Seperti yang telah diibaratkan sebelum ini cermin itu adalah ibarat orang lain atau orang di sekeliling anda tidak kira secara individu atau berkelompok.

Jika masih was-was, cuba eksperimen ini. Pada sebarang sesi perkenalan dengan orang baru dalam mana-mana majlis cuba  memulakannya  dengan menunjukkan "muka masam" dan "lokek senyum". Jangan "saling tegur menegur" untuk berkenalan. Pancarkan imej sombong diri dan suka menyendiri kerana tidak percayakan orang lain! Kajilah apa reaksi orang di sekeliling setelah  memancarkan aura berkenaan. Adakah audien anda itu akan bertungkus-lumus mahu memegang tangan anda untuk bersalam dan berkenalan? Jika ya jawabnya,  maka kes berkenaan mungkin satu dalam seribu!

Kiasannya di sini ialah,  kita akan melihat "dunia tanpa senyuman" jika kita tidak mencetuskan "senyuman kepada dunia". Jika kita membenci diri sendiri maka biasanya kita akan sering tidak puas hati dengan orang lain. Pernahkah kita berjumpa dengan rakan-rakan yang sentiasa memperlekeh sesiapa saja yang lalu didepan matanya. Mereka kerap mempunyi persepsi negatif terhadap orang lain. Sebagai contoh, jika dia melihat seorang anggota polis sedang menerima wang dari seseorang, perkara pertama yang terlintas dibenaknya ialah kemungkinan besar itu duit rasuah. Jarang sekali dia "menyangka baik" dengan berkata "ah...mungkin rakannya memulangkan pinjaman yang telah diberikan oleh anggota berkenaan"

Persoalan menyangka baik pada dunia ini selalu diamalkan oleh orang-orang yang mementingkan kewarakan dalam kehidupan beragama. Ahli Sufi umpamanya, melihat aspek Tauhid melebihi perincian perbuatan manusia umpamanya. Mereka percaya bahawa taqdir memainkan peranan yang penting dalam kehidupan. Banyak literatur sufi membayangkan bahawa kehidupan keseluruhannya ini adalah "karangan" Allah dan siapalah kita hendak mempertikai setiap rentetan peristiwa dan sifat sesuatu. Pada mereka, semuanya realitstik belaka!

Ada satu qaul dalam berpandangan tentang fenomena dunia ini  berkaitan dengan taqdir. Menurut pandangan ini,  bahawa sesiapa yang meletakkan kekuasaan itu kepada diri sendiri maka dia akan selalu ditimpa stres akibat merasa gagal dalam memperbuat sesuatu dengan betul. Jika Tauhidnya diperingkat optimum dan melihat bahawa operasi dunia ini banyak bergantung kepada taqdir maka dia akan merasa senang hati dan tenang kerana melihat sesuatu insiden itu adalah merupakan ujian dari Allah bagi menaikkan martabat dirinya.

Sunday, 11 April 2010

MEREKA ADALAH CERMIN WAJAH DIRI KITA!


Salam,
Berkaitan dengan cerita " Saya adalah seekor tikus" yang telah di utarakan pada posting pertama maka Sysalq ingin mengajak sahabat berkongsi kefahaman mengenainya dan merasai akibah dari pembetulan yang bakal kita lakukan.

Percayalah bahawa...kepercayaan kita tentang "apa orang lain kata terhadap kita" adalah merupakan "tanggapan" kita semata-mata. Maksudnya di sini ialah kita menganggap orang melihat kita "begitu dan begini" namun adakah tanggapan itu benar? Sebagai contoh, seorang gadis yang merasai wajahnya 'tidak cantik' akan sentiasa curiga atau merasai diperli apabila rakannya memuji "kecantikannya". Adakah wajahnya benar-benar cantik atau tidak cantik? Mana satu yang betul?

Seorang rakan percaya bahawa dirinya selalu mengalami masalah kesihatan dan merasai dirinya hampir dengan maut. Sahabat ini rajin pula bercerita mengenai masalah kesihatannya dan setiap kali bertemu rakan-rakan lain pokok perbualannya ialah masalah kesihatannya dan menyatakan bahawa dirinya sudah menjadi hampir "tidak berguna lagi!"

Wahai sahabat pembaca dan peminat blog ini, percayalah bahwa kebanyakan orang yang mendengar perbicaraan mengenai keadaan dirundung malang ini akan pula menyambung cerita sahabat tadi dan "pemasaran cerita" dari mulut ke mulut akan berlaku. Majoriti masyarakat akan bersetuju bahawa sahabat tadi memang benar-benar berpenyakit dan sedang menanti maut! Adakah benar keadaan itu berlaku? Siapakah yang bertanggung-jawab menyebarkan cerita mengenainya? Semua orang memandang lemah kepada dirinya. Dirinya sendiri yang bertanggung-jawab jika masyarakat memandangnya begitu kerana masyarakat, audien atau orang ramai adalah merupakan cerminan diri kita.

Cuba kita berdiri di depan cermin solekan dan kita ukirkan senyuman...nescaya wajah kita yang dipaparkan di dalam cermin itu juga tersenyum. Begitulah kiasannya.

Oleh itu berhati-hatilah. Apa jua imej yang kita pancarkan kepada orang lain akan dikembalikan kepada kita. 

CERITA MENGENAI PERSEPSI: DIA SEEKOR 'TIKUS'


Salam,

Tahukah sahabat bahawa pandangan orang terhadap diri kita adalah sangat bergantung kepada kepercayaan kita terhadap diri sendiri. Kesan dari 'kepercayaan' yang tidak kita sedari itu telah menyebabkan seseorang memandang rendah terhadap diri kita.

Sysalq ingin berkongsi satu cerita yang amat berkaitan dengan perkara ini agar ianya boleh menjadi iktibar.
Seorang pesakit di sebuah hospital percaya bahawa dirinya adalah seekor "tikus". Kepercayaan bahawa "diri adalah seekor tikus" itu begitu mendalam sehingga semua tindak-tanduknya bagaikan seekor tikus. Apabila doktor bertanya kepadanya dia akan menyatakan bahawa "Saya adalah seekor tikus!"

Namun, doktor telah berjaya memberi rawatan psikologi bagi menyadarkannya bahawa dia sebenarnya adalah seorang manusia dan bukannya seekor tikus. Setelah nampak tanda-tanda pemulihan doktornya itu berkata kepadanya "Mulai sekarang ini kamu bukan lagi seekor tikus...betul? Berjanjilah dengan saya bahawa kamu adalah manusia dan bukannya seekor tikus!" Dengan penuh keyakinan si pesakit berkenaan menjawab "Ya...saya bukan seekor tikus! Saya berjanji bahawa saya adalah seorang manusia!"

Pada hari terakhir di hospital, doktor yang hebat itu telah mengiringinya untuk keluar hospital. Semuanya bergembira kerana masalah telah dapat diselesaikan. Namun demikian tiba-tiba bekas pesakit berkenaan menggigil dan kelihatan seperti hilang kepercayaan apabila melihat seekor kucing yang kebetulan berada di kawasan pintu keluar.

Saya nampak seekor kucing doktor...saya takut!" Keluh bekas pesakitnya itu.

"Bukankah kita berjanji bahawa kamu bukanlah seekor tikus? Kamu tidak perlu takut kepada kucing!" Nasihat doktor.

"Memang betul tuan, saya memang percaya saya bukan seekor tikus tapi...kucing itu, adakah kucing itu tahu saya bukan tikus?"

Begitulah ceritanya. Lihatlah bagaimana anggapan kita terhadap orang lain amat mempengaruhi sikap diri kita.
Kepercayaan tentang diri pula kita akan membuatkan kita bertindak mengikut haluan kepercayaan itu. Anggapan kita bahawa pandangan orang terhadap diri kita sebenarnya datang dari kita sendiri. Orang mungkin tidak tahu kita siapa tetapi akibat kita sering menceritakan 'kelemahan' diri kita maka orang akan memandang kita seperti apa yang kita huraikan kepada mereka. Berhati-hatilah.

Jika kita memandang diri kita begitu lemah dan kerdil, bagaiman kita dapat melihat pelangi akan berada disekitar kita?   

Pesanan Penting